BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, October 21, 2009

Masalah remaja masa kini (jenayah seks)

Nama: Muhamamad Shakir bin Che Soh

No matrik: D20081032384

Tajuk: Masalah remaja masa kini (jenayah seks)

Dewasa ini kita digemparkan dengan pelbagai masalah sosial khususnya melibatkan golongan remaja di dada-dada akhbar ataupun di media massa elektronik seperti kaca televisyen dan internet. Masalah-masalah gejala sosial ini bukanlah satu isu yang baharu malah sejak lama dahulu yang menunjukkan peningkatan saban tahun. Satu persoalan telah timbul di sini. Bagaimanakah keadaan pewaris negara kita nanti? Sudah tentu akan hancur luluhlah pelbagai hasrat, misi, visi, matlamat dan segala perancangan pemimpin-pemimpin terdahulu bagi membangunkan sebuah generasi manusia yang berhemah tinggi dan mampu berdiri sendiri. Hal ini demikian kerana keadaan masyarakt remaja kita di Malaysia menunjukkan peningkatan keruntuhan akhlak yang amat membimbangkan.

Pada peringkat pelajar dan remaja, seseorang individu mengalami perubahan yang amat pesat sekali, sama ada dari segi fizikal, emosi mahupun sosial. Pada zaman inilah para remaja mula terdedah kepada alam luas di luar rumah, malah persekitaran ini sudah merupakan rumah kedua kepada mereka. Remaja juga belajar banyak perkara yang tidak semuanya datang dari ibu bapa tetapi kebanyakannya daripada persekitaran sosial yang mana ia membesar. Pada tempoh-tempoh inilah para remaja mula mengubah tingkah laku, sikap, dan nilai, malahan seluruh cara hidup daripada alam kanak-kanak kepada alam yang lebih matang dan dewasa (Bettelheim, 1950). Tambahan pula, mereka juga mampu membuat perkara-perkara yang tidak dapat diterima akal masyarakat dewasa kerana tindak tanduk mereka sudah keterlaluan dan mampu merosakkan satu komuniti masyarakat. Golongan remaja khususnya golongan pelajar sering melanggar disiplin atau salah laku sekolah. Mereka bukan sekadar merokok, bergaduh sesama sendiri tetapi hingga sanggup merogol, mencabul kehormatan guru, meliwat rakan, pelacuran, dan juga terbabit dengan video lucah. Jenayah seks ini dilihat semakin menjadi-jadi seperti cendawan tumbuh selepas hujan seolah-olah tiada kawalan daripada pihak berwajib.

Jenayah seks ini melibatkan golongan remaja terutamanya di sekolah-sekolah dan juga di institusi pengajian tinggi tanah air. Tapi siapakah golongan remaja sebenarnya? Secara perundangan tidak terdapat definisi yang khusus bagi mengkategorikan remaja. Akta Pekerjaan Kanak-Kanak dan Orang Muda 1996 mentakrifkan seorang kanak-kanak adalah mereka yang berada dalam lingkungan umur 10 hingga 14 tahun. Dalam Akta Pengangkatan 1952, kanak-kanak didefinisikan mereka yang berumur 21 tahun ke bawah. Walaupun setiap akta ini tidak menjelaskan peringkat umur tertentu, secara umumnya dalam membicarakan masalah remaja, golongan remaja yang perlu ditumpukan adalah yang berumur di bawah 21 tahun dan sebahagian besar daripada mereka masih dalam alam persekolahan (V.Raman,2003).

Selain itu, golongan remaja ini merangkumi sebahagian besar rakyat Malaysia. Maka, tidak hairanlah pelbagai masalah sosial melibatkan golongan ini. Berbalik kepada isu jenayah seks tadi, kes ini seperti tidak menemui penawar malah semakin diubati semakin merebak pnyakitnya. Hal ini demikian apabila pelbagai program yang diadakan oleh pihak kerajaan bagi membendung gejala seks ini, malah jumlah kes tetap meningkat saban tahun . Mengikut perangkaan jenayah indeks yang melibatkan juvana pelajar bagi kontinjen kedah januari hingga disember pada tahun 2007 dan 2008; kes mencabul kehormatan pada tahun 2007 ialah 11 kes manakala pada tahun 2008 mencatat 28 kes. Kes sumbang mahram pula hanya 2 kes dan pada tahun berikutnya tiada kes yang dicatatkan.Selain itu, kes meliwat pula tida kes pada tahun 2007 tetapi sebanyak 3 tangkapan pada tahun 2008. Tambahan pula, pada tahun 2007 tiada kes rogol dalam kalangan penuntut di kedah tetapi mencatat sebanyak 24 kes pada tahun 2008. pada keseluruhannya, kes yang melibatkan jenayah seksual semakin meningkat dalam kalangan golongan remaja. Jika mengikut statistik ini, ini sudah semakin parah dan patut dibendung dengan lebih berkesan dan berterusan. Kes-kes ini adalah yang dilaporkan kepada pihak polis kedah; tetapi bagaimanakah yang tidak dilaporkan atau yang disembunyikan daripada pengetahuan umum? Oleh itu, setiap pihak perlulah membuka mata hati dan perlu mengembleng tenaga bagi mengatasi jenayah seks ini daripada terus menjadi anasir negatif kepada masyarakat kita.

Tambahan itu, terdapat juga pelbagai kes yang melibatkan pelajar di sekolah sekitar badaraya Kuala Lumpur. Seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah mendedahkan bahawa beliau menemui kondom yang disimpan dalam beg oleh pelajar wanita di sebuah sekolah di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Kondom itu ditemui ketika pemeriksaan mengejut dilakukan di sekolah tersebut. Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim, jenayah seksual di kalangan pelajar terutamanya di sekitar Kuala Lumpur semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Di antara jenayah seksual yang mereka lakukan seperti mencabul kehormatan , merogol dan juga pelacuran . Mangsa yang dicabul oleh mereka bukan sahaja pelajar wanita tetapi juga wanita-wanita dewasa. Selain jenayah seksual, beliau mendedahkan mengenai masalah seks rambang, hamil luar nikah dan pelacuran dikalangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT). Menurutnya, sehingga bulan Jun tahun ini, seramai 141 gadis bawah umur berjaya diselamatkan daripada kancah pelacuran dan kegiatan seks haram di seluruh negara dan sepanjang tahun lalu pula seramai 230 remaja bawah umur yang terlibat berjaya diselamatkan dan dihantar ke pusat pemulihan akhlak.

Selain itu, yang paling menyedihkan ialah ada satu kes yang melibatkan ibu bapa sendiri yang sanggup mendedahkan anaknya ke arah gejala seks yang teruk. Contohnya, baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seks oral dibawah meja di bilik darjah oleh empat orang murid tahun dua di sebuah sekolah rendah di Taiping. Hasil siasatan guru-guru, didapati bahawa seorang daripada murid itu mengulangi apa yang yang dilihatnya dalam sebuah filem lucah , bersama-sama ibu bapanya pada malam sebelumnya. Di sebabkan oleh sebab sifat ingin tahu, dia meminta rakan-rakannya untuk mencubanya di bawah meja selepas guru mereka meninggalkan bilik darjah.

Harapkan pagar, pagar makan padi. Ibu bapa yang dilihat penyelesai masalah sosial anak-anak, kini menjadi pemangkin budaya buruk kepada generasi muda sendiri. Apa akan jadi kepada masyarakat kita ini? Bagaimanakah mahu membendung masalah ini? Persoalan- persoalan ini sering diutarakan dan dibincangkan oleh para bijak pandai di negara kita, namun adakah dengan hanya bincang sahaja masalah akan selesai? Mari kita fikir dan renungkan apa peranan kita sebagai umat Islam yang mempunyai satu tanggungjawab yang sangat berat iaitu amar maaruf nahi mungkar. Jika setiap orang Islam faham maksud hidupnya dan mengutamakan maksud hidup melebihi segala keperluan hidupnya sudah pasti dunia ini akan aman dan bebas dripada pelbagai maslah sosial termasuklah jenayah seks. Kerapuhan iman dalam kalangan umat Islam seluruh dunia dilihat punca segala masalah terus membelenggu hidup kita. Maka, dengan itu setiap muslim perlulah mempelajari usaha atas iman dan memperbetulkan amal masing-masing dan seterusnya dapat mendidik diri dan seluruh masyarakat ke arah satu cara hidup yang lebih bertamadun malah diredhai oleh Allah SWT, Tuhan pemilik seluruh kerajaan di dunia ini.

Rujukan

http://www.scribd.com/doc/3037379/PENULISAN-KARANGAN-SPMISU-DISIPLIN-PELAJAR

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0714&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_07.htm&arc=hive&arc=hive

http://www.adk.gov.my/download/laporan/laporanjulai.pdf

0 comments: